Kerajaan larang penjawat awam guna Waze serta-merta, TuJu jadi alternatif

Kerajaan mengarahkan semua penjawat awam menghentikan penggunaan aplikasi navigasi Waze serta-merta susulan kebimbangan terhadap keselamatan maklumat dan data pergerakan pengguna yang dikaitkan dengan Israel.
Arahan itu dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menerusi surat rasmi. Keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan diarahkan memastikan larangan itu dimaklumkan kepada pegawai di bawah seliaan masing-masing, termasuk agensi dan jabatan berkaitan.
Sebarang pertanyaan mengenai pelaksanaan arahan boleh dikemukakan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) di bawah Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri.
Sebagai alternatif, kerajaan menggalakkan penggunaan aplikasi navigasi tempatan, TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Langkah itu bertujuan mengurangkan risiko keselamatan data dan identiti rakyat serta memperkukuh keselamatan siber negara.




