Malaysia
Pekerja MARDI maut diserang lebah ketika mengutip madu

Seorang pekerja Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) maut selepas diserang sekumpulan lebah ketika mengutip madu di ladang agensi itu di Ayer Putih, semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Razi Rosli berkata, mangsa, Hafizul Mat, 40, diserang ketika memanjat pokok setinggi kira-kira tiga meter untuk mengambil madu, meskipun telah dinasihati rakan sekerjanya supaya tidak berbuat demikian.
Mangsa kemudian terjun ke dalam kolam berhampiran untuk mengelak daripada terus diserang. Selepas keluar dari kolam, mangsa mengalami kesakitan pada tangan dan kaki sebelum rebah serta mengalami sawan.
Mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia pada jam 6.42 petang ketika menerima rawatan.




