Pesawat tentera Bangladesh terhempas, rempuh sekolah akibatkan 20 maut

Sebuah pesawat latihan milik Tentera Udara Bangladesh terhempas di kawasan sekolah di utara Dhaka pada Isnin, mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang dan mencederakan ramai yang lain.
Insiden berlaku di Sekolah dan Kolej Milestone yang terletak di kawasan perumahan Uttara ketika sesi pembelajaran dan peperiksaan sedang berlangsung.
Jet jenis F-7BGI buatan China itu dilaporkan mengalami kerosakan teknikal sebelum merempuh bangunan lima tingkat itu dan terhempas ke struktur dua tingkat dalam kawasan kampus, menyebabkan letupan besar dan kebakaran.
Rakaman kejadian menunjukkan api marak dan asap tebal menjulang ke udara, sementara orang ramai menyaksikan dari kejauhan.
Kejadian berlaku ketika sesi persekolahan tamat, menyebabkan suasana panik dengan ramai pelajar, termasuk murid sekolah rendah, menjadi mangsa.




