Pengetua, penolong kanan, warden sekolah Zara Qairina dipindahkan ke JPN

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa pengetua, penolong kanan hal ehwal murid, serta semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Sabah telah ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah.
Langkah ini diambil bagi memberi ruang kepada siasatan polis berhubung kes kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir, diselesaikan.
Menurut KPM, keputusan tersebut dibuat selepas Bukit Aman mengambil alih siasatan melalui Pasukan Petugas Khas, susulan arahan Jabatan Peguam Negara untuk menyiasat semula kes berkenaan.
Pihak kementerian menegaskan bahawa kes ini menjadi keutamaan dan memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses siasatan berjalan secara menyeluruh, teliti, dan adil kepada semua pihak.
Terdahulu, jenazah remaja berusia 13 tahun itu digali semula tiga hari lalu bagi tujuan bedah siasat kali kedua, sebagai sebahagian daripada siasatan lanjut yang sedang dijalankan pihak berkuasa.



