Majlis Syarahan Negarawan angkat sejarah Sarawak sebagai jambatan perpaduan

Kementerian Perpaduan Negara melalui Arkib Negara Malaysia menganjurkan Majlis Syarahan Negarawan bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar di Wisma Sejarah.
Dalam majlis itu, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi berkongsi pandangan dan pengalaman mengenai sejarah Sarawak kepada pentadbir, penjawat awam, ahli akademik, penyelidik serta masyarakat. Beliau turut dikenali sebagai pencinta sejarah Sarawak dan menggunakan platform itu untuk berkongsi pemikiran mengenai sejarah serta perpaduan masyarakat.
Tun Pehin Sri memulakan khidmat dalam Polis Diraja Malaysia pada 1964 dan berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan dari 1968 hingga 1973, termasuk terlibat dalam operasi menentang ancaman komunis di Sarawak. Pengalaman itu turut didokumentasikan dalam karya beliau berjudul A Policeman.
Menteri Perpaduan Negara, YB Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata sejarah penting dalam pembinaan negara bangsa kerana membantu masyarakat memahami kepelbagaian identiti dan pengalaman bersama.
Program itu turut diadakan sempena Jubli Emas Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak, dengan Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak 2026 berlangsung pada 29 dan 30 September, manakala Majlis Polemik Sejarah Malaysia Kali Ke-56 turut diadakan semalam.




