Beli Boeing bukan sebab tarif, tetapi kerana pesawat B737-800 dah 14 tahun beroperasi – Tengku Zafrul

Malaysia Aviation Group (MAG) memperoleh pesawat Boeing secara berperingkat sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk memperbaharui dan menambah kapasiti armada,
Jelas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, pembelian itu bukan disebabkan tekanan tarif.
Ia sebaliknya demi menggantikan pesawat B737-800 yang telah beroperasi sekitar 14 tahun, bagi menjamin keselamatan dan kelangsungan operasi.
Setakat ini, 13 daripada 25 pesawat Boeing 737-8 MAX yang ditempah sejak 2016 telah diterima, manakala 30 lagi ditempah pada Mac 2025 dan akan dihantar secara berperingkat hingga 2035.
Industri aeroangkasa tempatan turut mendapat manfaat hasil kerjasama jangka panjang dengan Boeing, sekali gus menyokong lebih 30,000 pekerjaan dan menyumbang RM25.1 bilion kepada ekonomi negara pada 2024.




