Malaysia

Cikgu Bakri antara paling sibuk menjelang Deepavali, sertai pertandingan kolam kerana minat

Setiap kali menjelang Deepavali, ketika masyarakat India sibuk membuat persiapan perayaan, seorang guru Melayu bernama Muhammad Bakri Talib turut mengaku dirinya tidak kurang sibuk, malah hampir setiap hari terikat dengan jadual pertandingan membuat kolam.

Berasal dari Terengganu dan kini mengajar Bahasa Melayu di sebuah sekolah di Kuala Lumpur, Bakri sudah lebih dua dekad menyertai pertandingan kolam, sebuah seni tradisi India yang jarang diceburi masyarakat Melayu.

“Dia sebenarnya untuk buat kolam ni dia kan macam kalau kita tengok mata kasar macam tak adalah susah bahannya pun tak adalah sangat mahal tapi bila dengan dapat hadiah yang besar macam tu saya rasa macam okay.

“Kita boleh teruskan sebab saya memang suka bila tengok warna-warna itu bergabung, apabila buat warna itu sampai tengah malam saya buat jadi macam tak ada rasa macam penat ke nak pergi beli bahan-bahan, nak pergi cari lepas kerja pergi cari bahan-bahan selepas itu hari Sabtu, Ahad kena keluar untuk bertanding.

“Jadi macam semua tu saya rasa macam okay kita boleh dapat sesuatu sebab bila buat yang kita minat, bila buat yang kita suka tu macam tak ada rasa penat,” kata Bakri.

Katanya lagi, meskipun seringkali menjadi satu-satunya peserta berbangsa Melayu, dia tidak menganggap perkara itu sebagai janggal sehinggakan peniaga barangan hiasan Deepavali juga sudah mengenalinya dan menawarkan potongan harga setiap kali dia membeli barang persiapan untuk membuat kolam.

“Dia orang tahu sebenarnya, oh untuk kolam ya, jadi macam ya lepas tu saya cubalah ni tak discount ke, harga murah ke, bila beli banyak kan macam tu lah. Tapi okey sahaja tak ada masalah.”

Minatnya terhadap seni India bermula sekitar tahun 2005 apabila beliau berjinak-jinak dengan kolam ketika baru mengenali budaya India selepas mengambil subjek Bahasa Tamil di Universiti Putra Malaysia.

Selain mendalami seni menghasilkan kolam, filem Tamil yang kaya dengan elemen warna-warni juga turut menjadi kegemaran Bakri yang turut meluangkan masa dengan menonton koleksi filem Tamil.

“Kalau nak kata tentang minat, sekarang film Tamil dia macam jalan cerita dia macam sukar diduga. Saya suka yang macam tu.

“Jadi macam kita tak boleh bayang, kita tak boleh tahu apa yang akan berlaku lepas ni dan apa ending cerita ni. Jadi macam best lah. Dan kalau apa macam family besar, kalau bila saya balik kampung ke apa, saya akan buka movie Tamil, dia orang akan balik, dah tahulah tu, Tamil lah tu,” tambahnya.

Walaupun tidak fasih bertutur dan hanya reti menulis dan membaca tulisan Tamil, beliau menganggap bahawa kebolehannya untuk menghasilkan kolam bukan sekadar tentang seni, tetapi tentang keberanian merentas batas budaya dan menjadikan perbezaan sebagai jambatan perpaduan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker