Demonstrasi kuil di Bukit Mertajam dibatalkan selepas perbincangan harmoni

Perhimpunan yang dirancang di kawasan kuil berhampiran Hospital Bukit Mertajam esok secara rasminya dibatalkan susulan perbincangan harmoni bersama pihak polis dan pengurusan kuil.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Sophian Mohd Zain, mengesahkan bahawa pihaknya tidak akan mengadakan sebarang kehadiran di lokasi tersebut.
Keputusan ini diambil bagi mematuhi nasihat pihak berkuasa untuk menjaga ketenteraman awam dan menghormati kesucian sambutan keagamaan.
Berikutan itu, pihak pengurusan Kuil Sri Dewi Muniswarar akan meneruskan upacara sambutan yang dirancang seperti biasa dalam suasana yang aman.
Dalam perkembangan sama, Kementerian Kesihatan, Majlis Bandaraya Seberang Prai, dan kerajaan negeri Pulau Pinang digesa untuk memberikan penjelasan rasmi mengenai status tapak kuil yang telah berusia 127 tahun itu bagi merungkai kekeliruan yang timbul.




