Dr Siti Hasmah Ali, meninggal dunia pada usia 100 tahun

Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Dr Siti Hasmah Ali meninggal dunia hari ini pada usia 100 tahun.
Beliau difahamkan menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira jam 9.25 pagi.
Sebagai seorang doktor, Dr Siti Hasmah memanfaatkan kedudukannya sebagai isteri Perdana Menteri untuk memperjuangkan kesihatan ibu dan anak, perancangan keluarga, celik huruf, pencegahan penyalahgunaan dadah serta kesihatan mental.
Mahathir dan Siti Hasmah bertemu pada 1947 ketika menuntut di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura. Mereka mendirikan rumah tangga pada Ogos 1956.
Pasangan itu dikurniakan empat anak, iaitu Marina, Mirzan, Mokhzani dan Mukhriz. Mereka turut membesarkan tiga anak angkat, Melinda, Mazhar dan Maizura.
Dilahirkan sebagai anak keenam daripada 10 beradik, Siti Hasmah meneruskan pengajian perubatannya di Singapura selepas mendapat pendidikan awal di Klang.
Selepas menamatkan pengajian pada 1955, beliau menjadi antara doktor wanita Melayu terawal, sekali gus merintis laluan pada ketika peluang pendidikan dan kerjaya untuk wanita masih terbatas.
Dalam bidang kemasyarakatan, beliau pernah memimpin Bakti, Persatuan Pandu Puteri Malaysia serta Persatuan Perancang Keluarga Kedah, selain menjadi penaung kepada pelbagai pertubuhan kesihatan.
Pada 2019, selepas menjalani pembedahan untuk membuang ketulan pada payudara yang dikesan lebih awal, beliau menyeru kaum wanita agar menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.




