Dulu hidup mewah, kini Dr Amirah pilih kehidupan minimalis dalam ruang 45 kaki persegi

Suatu ketika dahulu, Dr Amirah Alieya Mohammad lebih selesa menunjukkan kejayaan dengan memakai pakaian dan beg tangan berjenama.
Namun kini, kehidupan doktor berusia 36 tahun itu jauh berbeza iaitu hanya tinggal dalam ruang seluas 45 kaki persegi, memiliki tujuh helai pakaian, dan memasak hidangan ringkas seperti nasi goreng atau spageti di pantri kliniknya.
Bersama suaminya, Dr Muhammad Aiman Salahuddin, mereka memilih untuk hidup minimalis dan berjimat, meninggalkan gaya hidup mewah yang pernah memberi tekanan emosi.
Pasangan doktor itu kini mendiami bilik kecil di klinik mereka sendiri sejak awal tahun ini selepas memutuskan untuk terus mengecilkan ruang kediaman.
Video kehidupan mereka sebelum ini pernah tular apabila memperlihatkan ruang bilik muat dua orang, mengundang pelbagai reaksi netizen dengan ada yang menganggap gaya hidup itu mungkin sesuai untuk pasangan tanpa anak.
Bagi Dr Amirah, keputusan meninggalkan kemewahan bukan kerana kekangan kewangan, tetapi demi ketenangan mental dan kestabilan emosi.
Hidup dengan lebih sederhana membolehkan dia menumpukan sepenuh perhatian kepada pesakit, menikmati masa bersama suami, dan bebas daripada tekanan untuk kelihatan berjaya di mata orang lain.




