Penumpang KTM Komuter terperangkap satu jam tanpa ‘aircond’

Beberapa perkhidmatan KTM Komuter di Lembah Klang tergendala pagi tadi selepas tren dilaporkan terputus bekalan elektrik di antara laluan Batu Tiga dan Subang Jaya sekitar 8.30 pagi, menyebabkan ratusan penumpang terkandas.
Gangguan itu menyebabkan tren berhenti lebih sejam tanpa pendingin hawa, memaksa sebahagian penumpang berjalan kaki dalam hujan atau mencari pengangkutan lain untuk meneruskan perjalanan.
Beberapa pengguna media sosial turut berkongsi pengalaman mereka terperangkap dan berpeluh dalam tren sepanjang kejadian.
Menurut kenyataan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), gangguan berlaku akibat alat talian atas terputus, menjadikan laluan antara Subang Jaya dan Batu Tiga tidak dapat digunakan buat sementara waktu.
Operasi tren hanya menggunakan satu landasan, menyebabkan kelewatan lebih 60 minit serta beberapa perjalanan ditamatkan lebih awal.
Bagi perjalanan sebelah petang, tren dari KL Sentral akan berakhir di Stesen Subang Jaya, dan penumpang akan menggunakan bas perantara ke Shah Alam sebelum meneruskan perjalanan ke Pelabuhan Klang.
Pasukan teknikal KTMB kini berada di lokasi untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih bagi memulihkan operasi secepat mungkin. KTMB turut memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi penumpang dan menghargai kerjasama semua pihak.




