Gempar bunyi ketukan dari dalam keranda wanita 65 tahun

Sebuah keluarga di Phitsanulok gempar apabila terdengar bunyi ketukan dari dalam keranda beberapa minit sebelum upacara pengebumian bermula.
Ketika dibuka, mereka mendapati wanita yang disangka sudah meninggal itu Chontirot Sakulku, 65 sebenarnya masih bernafas.
Chontirot sebelum itu ditemui tidak sedarkan diri di rumah keluarganya di daerah Chat Trakan.
Disangka mati akibat tidak bernafas, keluarganya memaklumkan “kematian” kepada ketua kampung, mendapatkan sijil kematian dan menyiapkannya untuk pengebumian.
Ketika kakitangan kuil mengangkat keranda, mereka terdengar ketukan dari dalam. Wanita itu didapati masih hidup tetapi sangat lemah sebelum dikejarkan ke Hospital Bang Yai.
Doktor mengesahkan Chontirot tidak mengalami henti nafas, sebaliknya mengalami hipoglisemia, paras gula darah terlalu rendah yang boleh membuat seseorang kelihatan seperti sudah tidak bernyawa.
Keluarga memaklumkan mereka akan mengadakan upacara kesyukuran di kuil sebaik sahaja Chontirot kembali pulih.




