Guru, pekerja kantin bakal kahwin 25 Disember maut selepas SUV jatuh gaung

Sepasang bakal pengantin maut selepas SUV Toyota Fortuner yang mereka naiki terjatuh ke dalam gaung sedalam lebih 60 meter di KM52 Jalan Kuala Jeneris–Sungai Gawi–Aring (Bukit Kawah) pada petang Jumaat.
Mangsa, Hassan Shazali, 52, dari Melor, Kota Bharu, dan pasangannya, Suzaimah Che Azis, 34, dari Gua Musang, disahkan meninggal dunia di lokasi.
Lelaki itu merupakan guru di SK Lebir, manakala wanita tersebut bekerja di kantin sekolah sama. Mereka dijadual berkahwin pada 25 Disember ini.
Kemalangan dipercayai berlaku ketika pasangan berkenaan dalam perjalanan dari Hulu Terengganu ke Gua Musang melalui laluan yang sebenarnya ditutup berikutan tanah runtuh, sebelum kenderaan terbabas dan kedua-duanya tercampak keluar.
Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut, dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.




