Negara menua, Malaysia dicadang wujud Kementerian Warga Emas

Kerajaan dicadang mewujudkan Kementerian khusus untuk warga emas ketika negara sedang memasuki ke arah populasi penuaan.
Perkara itu dicadangkan oleh Sim Tze Tzin (PH-Bayan Lepas) berkata, pelbagai faktor mendorong Malaysia mencapai negara menua termasuk disebabkan aspek perkahwinan dan kelahiran.
Bagaimanapun, Menteri Kewangan II yang menjalankan tugas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan sentiasa menjaga kebajikan warga emas menerusi agensi sedia ada meskipun tiada kementerian khas bagi menguruskan golongan tersebut.
Katanya, negara mempunyai Kementerian Sumber Manusia untuk aspek pekerjaan, kemahiran dan pendidikan, Kementerian Kesihatan (KKM) bagi aspek kesihatan.
Manakala Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat bagi aspek penjagaan jangka panjang. Tambahnya apa yang penting, kesemua kementerian yang ada harus bekerjasama.
Malaysia diunjur menjadi negara tua menjelang 2048 apabila peratusan penduduk berumur 65 tahun ke atas mencecah 14 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.




