Dakwaan saham RM800k: Azam Baki ambil tindakan terhadap Bloomberg

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengarahkan peguamnya mengeluarkan surat tuntutan (LOD) kepada agensi berita antarabangsa, Bloomberg.
Ia berhubung laporan mengenai urus niaga saham lamanya dalam Velocity Capital Bhd yang disifatkan mengelirukan dan berunsur fitnah.
Notis undang-undang itu akan dihantar ke pejabat Bloomberg di Malaysia atau ibu pejabatnya di Amerika Syarikat.
Azam memaklumkan beliau bersedia membawa perkara itu ke mahkamah dan menuntut ganti rugi atas dakwaan laporan berkenaan menjejaskan reputasi peribadinya serta imej SPRM.
Menurutnya, isu yang dibangkitkan bukan bersifat jenayah tetapi melibatkan tafsiran terhadap pekeliling pentadbiran berkaitan pengisytiharan aset.
Azam menegaskan beliau telah mematuhi semua keperluan pengisytiharan aset mengikut prosedur kerajaan dan memberi amaran akan memohon injunksi mahkamah sekiranya dakwaan sama terus diulang.




