Harga rokok naik sehingga RM18.40 sekotak bermula Jumaat

Harga rokok dijangka meningkat sehingga RM18.40 sekotak susulan penyesuaian harga oleh British American Tobacco (Malaysia) Bhd (BAT Malaysia) selepas kenaikan duti eksais dalam Belanjawan 2026.
Harga baharu antara RM12.40 hingga RM18.40 ini, yang telah diluluskan Kementerian Kesihatan, akan berkuat kuasa mulai 21 November 2025.
BAT Malaysia menjelaskan kenaikan sederhana ini merupakan penyelarasan pertama dalam tempoh 10 tahun dan dianggap lebih seimbang dalam keadaan ekonomi semasa.
Syarikat itu turut menekankan bahawa harga naik secara mendadak sebelum ini mendorong perkembangan pasaran gelap, yang kini menguasai lebih separuh penggunaan rokok negara.
BAT juga menyambut baik usaha penguatkuasaan yang semakin agresif dan peruntukan tambahan kerajaan bagi mengekang penyeludupan tembakau serta membanteras pasaran gelap yang menjejaskan hasil negara.




