Jangan keliru! MyNIISE belum diwajibkan, masih boleh guna MyBorderPass di autogate

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memaklumkan penggunaan aplikasi Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) belum diwajibkan bagi urusan perjalanan ke luar negara.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata orang ramai masih boleh menggunakan kaedah sedia ada seperti pasport fizikal untuk melepasi autogate, selain pilihan imbasan QR melalui MyNIISe.
Beliau menjelaskan langkah itu susulan kekeliruan orang awam mengenai pendaftaran MyNIISe yang melibatkan MyDigital ID, dengan menegaskan masyarakat tidak perlu bimbang kerana masih mempunyai beberapa pilihan pelepasan imigresen.
Dalam tempoh peralihan, aplikasi MyBorderPass juga kekal boleh digunakan.
Sebanyak 635 autogate baharu akan dipasang di seluruh negara, dengan pilihan imbasan pasport, QR MyNIISe dan pembaca MyKad di Sabah dan Sarawak.




