JAS masih belum kenal pasti punca bau misteri di Johor Bahru

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor masih belum menemui punca pencemaran bau yang dilaporkan di beberapa kawasan perumahan sekitar Johor Bahru, walaupun siasatan telah dijalankan sejak beberapa hari lalu.
Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff memaklumkan pihaknya telah melaksanakan pelbagai tindakan termasuk pemantauan dan intipan di lokasi terjejas, namun punca bau hangit berkenaan masih belum dikenal pasti.
Sebelum ini, JAS menumpukan operasi di beberapa kawasan antaranya Jalan Kempas Lama, Taman Impian Emas, Kempas Utama, Kempas Indah, Bandar Setia Tropika, Bandar Dato’ Onn serta Jalan Perjiranan.
Pegawai penguat kuasa turut menjalankan temu bual bersama penduduk bagi mendapatkan maklumat terus daripada komuniti setempat dan usaha pengesanan akan diteruskan sehingga punca sebenar ditemui.



