
Kapal tentera Itali menghentikan pengiringan terhadap armada Global Sumud Flotila (GSF) yang cuba menghantar bantuan ke Gaza, sekali gus meninggalkan lebih 40 bot awam dengan 500 penumpang termasuk ahli Parlimen, peguam dan aktivis iklim Greta Thunberg terdedah kepada tindakan tentera Israel.
Menurut Kementerian Pertahanan Itali, kapal frigat negara itu hanya akan mengiringi flotila sehingga 150 batu nautika (278 kilometer) dari pantai Gaza.
Rome sebelum ini menggesa agar bantuan disalur melalui pelabuhan Cyprus, namun cadangan itu ditolak GSF yang mahu memecahkan sekatan Israel.
Minggu lalu, flotila berkenaan diserang dron bersenjata di perairan antarabangsa berhampiran Greece, mendorong Itali dan Sepanyol menghantar kapal tentera laut sebagai langkah keselamatan.
Israel tidak mengulas tuduhan serangan itu, tetapi menegaskan akan menggunakan apa sahaja cara untuk menghalang konvoi tersebut, dengan alasan sekatan Gaza adalah sebahagian daripada perang menentang Hamas.




