Malaysia
Jet pejuang TUDM musnah sepenuhnya

Sebuah pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) musnah sepenuhnya selepas terhempas di Pangkalan Udara Kuantan malam tadi.
Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, juruterbang berusia 34 tahun dan jurusensor senjata berusia 28 tahun sempat keluar dari pesawat sebelum ia meletup.
Kedua-duanya hanya mengalami kecederaan ringan dan dibenarkan keluar hospital beberapa jam kemudian.
Insiden itu menyebabkan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah ditutup sementara bagi kerja pembersihan landasan. TUDM turut menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca nahas.




