Kanak-kanak 9 tahun antara mangsa kemalangan ambulans di Sri Rampai

Seorang penunggang motosikal cedera parah manakala beberapa individu lain mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan membabitkan sebuah van ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), dua kereta dan empat motosikal di persimpangan lampu isyarat pagi tadi
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 8.10 pagi di Jalan Usahawan 6, Setapak.
Insiden itu melibatkan seorang pemandu kereta lelaki berusia 30 tahun, pemandu van ambulans PBSM berusia 34 tahun bersama seorang penumpang lelaki berusia 24 tahun, empat penunggang motosikal lelaki serta seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang merupakan pembonceng motosikal.
Siasatan awal mendapati perlanggaran itu menyebabkan van ambulans terbabas lalu melanggar beberapa motosikal serta sebuah lagi kereta yang sedang berhenti di persimpangan.
Kesemua mangsa menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis turut meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.



