KBS kumpul lebih 10,000 sukarelawan belia, program SATRIA paling ramai

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merekodkan lebih 10,420 penyertaan sukarelawan belia sepanjang tahun ini.
Ia sekaligus menjadi antara pencapaian utama sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia (HKBM) 2025 yang berlangsung di Putrajaya pada Sabtu.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli berkata, peningkatan ini mencerminkan komitmen kuat belia terhadap usaha kemasyarakatan dan pembangunan komuniti.
Program di bawah inisiatif KBS seperti MyCorps Borneo, ASEAN Youth Volunteer (AYV), Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA), Furr Ever Friends dan Projek Dengar Rakan Muda menjadi penyumbang utama.
SATRIA mencatatkan penglibatan paling tinggi melalui lebih 100 projek komuniti dengan penglibatan 9,390 sukarelawan di seluruh negara bagi pengurusan projek, kerja komuniti dan pengurusan bencana.
HKBM 2025, yang disambut bersama Hari Sukarelawan Antarabangsa, menyasarkan lebih 5,000 peserta di peringkat kebangsaan dan negeri.




