Rancakkan MADANI rai lebih 300,000 pengunjung dalam tiga hari

Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku terus membuktikan daya tariknya apabila berjaya menarik lebih 300,000 pengunjung dalam tempoh tiga hari, menjadikannya antara penganjuran terbesar kerajaan tahun ini.
Kehadiran luar biasa itu mencerminkan minat rakyat untuk melihat sendiri pencapaian Kerajaan MADANI sepanjang tiga tahun pentadbiran.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang hadir menutup program tersebut di Putrajaya, berkata penganjuran ini memberi ruang kepada rakyat menilai inisiatif kerajaan secara langsung selain menikmati pelbagai perkhidmatan yang dibawa ke lapangan.
Sepanjang tiga tahun pentadbiran, kerajaan telah memperkenalkan lebih 160 ikhtiar baharu bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat, namun tidak semuanya sampai kepada masyarakat.
Sehubungan itu, Anwar menggesa penjawat awam memperkukuh penyampaian maklumat agar dasar serta inisiatif kerajaan difahami hingga ke peringkat akar umbi.
Program Rancakkan MADANI menampilkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, termasuk karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga serta pelbagai tawaran istimewa.




