Kerajaan salur RM3.1 juta kepada 155 kuil komuniti India

Kerajaan menyalurkan RM3.1 juta bagi Fasa Pertama Program Dharma Madani kepada 155 kuil komuniti India di seluruh negara, dengan setiap rumah ibadat menerima bantuan sekali beri sebanyak RM20,000.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, program ini sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Madani melibatkan peruntukan keseluruhan RM20 juta yang menyasarkan 1,000 rumah ibadat Hindu berdaftar.
Inisiatif yang diselia Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) itu bertujuan memperkasa institusi rumah ibadat sebagai pusat sokongan sosial, perpaduan dan pembangunan komuniti India.
Pelaksanaan serta kelulusan bantuan dibuat secara berperingkat, dengan senarai penerima diumumkan dari semasa ke semasa dan sehingga kini, 915 permohonan telah diterima dan sedang diteliti.
Dalam masa sama, MITRA kini dipindahkan di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi memperkemas perancangan dan pelaksanaan program berkaitan pembangunan masyarakat India.




