Kepala babi diletak depan rumah, kedai dipercayai angkara along

Polis menerima dua laporan berhubung kejadian meletakkan kepala babi di hadapan sebuah rumah di Kuala Pilah dan sebuah kedai di pekan Tampin kira-kira jam 1 pagi, Khamis.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata kedua-dua mangsa adalah lelaki yang mempunyai pertalian antara satu sama lain.
Siasatan awal mendapati kedua-dua kejadian itu saling berkait dan dipercayai berpunca daripada masalah peribadi antara mangsa dengan suspek yang disyaki pemberi pinjaman wang tidak berlesen.
Polis juga percaya individu sama pernah menyimbah cat di kedai berkenaan sebelum ini sebagai ugutan berkaitan hutang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan sehingga boleh mencetuskan pecah keamanan serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi kesalahan ugutan jenayah.




