KSU Kementerian Komunikasi direhat sementara selepas tular dakwaan khalwat di hotel

Seorang pegawai kanan sebuah kementerian direhatkan serta-merta susulan tuduhan salah laku yang diterima.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata tindakan itu bagi membolehkan siasatan dimulakan segera, dan jika didapati bersalah, pegawai terbabit akan dikenakan tindakan tatatertib mengikut Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Tindakan itu diambil selepas tular klip video berdurasi 11 saat di media sosial mendakwa seorang ketua setiausaha kementerian ditahan pihak berkuasa agama kerana disyaki terbabit dengan perbuatan khalwat di Kota Kinabalu, Sabah.
Shamsul Azri menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran tatakelola penjawat awam.
Sementara itu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil meminta semua pihak memberi ruang kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh KSN dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).



