Kes dadah Namewee ditangguhkan kerana dijangkiti Influenza A

Prosiding sebutan kes dadah melibatkan pengarah dan penyanyi rap tempatan, Namewee, ditangguhkan hari ini selepas beliau tidak dapat hadir ke Mahkamah Majistret akibat dijangkiti Influenza A.
Peguamnya, Joshua Tay, memaklumkan Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, 42, sedang menerima rawatan dan diberikan cuti sakit selama tiga hari, dengan sijil perubatan dikemukakan kepada mahkamah. Penjamin tertuduh hadir bagi mewakilinya.
Sebutan kes di dua mahkamah berasingan itu ditetapkan semula pada 22 Disember dan 19 Januari depan.
Namewee berdepan dua pertuduhan dadah, termasuk memiliki dadah disyaki Ecstasy seberat 5.12 gram di sebuah hotel di Jalan Conlay pada 22 Oktober lalu, serta mengambil beberapa jenis dadah termasuk amphetamine, methamphetamine, THC dan ketamine.
Pertuduhan dibuat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara, denda, sebatan dan pengawasan jika sabit kesalahan.




