Kes serang wartawan: Suspek salah orang, sasar lelaki kacau bini orang – Polis

Polis mengesyaki serangan terhadap wartawan sukan Haresh Deol di Bangsar kelmarin berlaku akibat salah sasaran, selepas siasatan awal mendapati suspek sebenarnya dipercayai menyasarkan individu lain yang didakwa mengganggu isterinya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadil Marsus berkata, siasatan setakat ini sememangnya menunjukkan motif kejadian berpunca daripada isu peribadi.
“Memang ada satu tangkapan dibuat, terlihat sepertimana suspek kata ada gangguan terhadap isteri dia, tapi kelihatan ini lebih kepada peribadi.
“Tapi nampak macam seperti salah sasaran pun ada. Buat masa ini kita tahan seorang sahaja tetapi kita masih jalankan siasatan sebab sekarang setakat ini dahulu,” katanya pada Khamis.
Tambahnya, suspek direman bagi membantu siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Terdahulu, kejadian dilaporkan berlaku di Jalan Maarof berhampiran parkir sebuah pusat beli-belah ketika mangsa sedang berjalan menuju ke Jalan Telawi.
Haresh menerusi hantaran di laman X, mendakwa diserang dua lelaki sementara seorang lagi individu merakam insiden itu menggunakan telefon bimbit.



