KPM tidak wajibkan pemakaian tali leher tahun depan, atas faktor cuaca

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan pemakaian tali leher tidak lagi diwajibkan kepada murid sekolah mulai sesi persekolahan tahun depan.
Keputusan itu dimaklumkan menerusi surat siaran bertarikh 17 Disember, susulan Mesyuarat Profesional Khas KPM 2025 pada 8 Disember dan ditandatangani Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad.
KPM menegaskan tiada paksaan atau tekanan boleh dikenakan ke atas murid berhubung pemakaian tali leher. Langkah ini diambil bagi meringankan beban ibu bapa dalam penyediaan kelengkapan sekolah, selain mengambil kira keperluan semasa murid.
Antara faktor utama ialah keadaan iklim Malaysia yang panas dan lembap, yang kurang sesuai untuk pemakaian tali leher secara harian serta boleh menjejaskan keselesaan murid, di samping usaha mengurangkan tekanan kewangan isi rumah.




