Lebih 5,500 kumpulan pelaksana KKM masih terbeban status kontrak – Lingeshwaran

Ahli Dewan Negara, RA Lingeshwaran mendedahkan seramai 5,576 anggota kumpulan pelaksana di Kementerian Kesihatan Malaysia masih berdepan ketidakpastian status kontrak, sekali gus menuntut tindakan segera kerajaan.
Daripada keseluruhan 27,481 lantikan kontrak di KKM setakat akhir 2025, sebahagian besar melibatkan jawatan sokongan kritikal seperti penolong pegawai perubatan, kesihatan persekitaran dan juruteknologi makmal.
Situasi itu menunjukkan perkhidmatan kesihatan awam kini bergantung kepada tenaga kerja kontrak dalam skala besar, termasuk lebih 15 peratus bagi jawatan tertentu yang masih tiada jaminan tetap.
Beliau memberi amaran kegagalan merancang pelantikan tetap boleh menjejaskan sistem kesihatan negara serta mendorong penghijrahan tenaga mahir ke sektor lain.
Sehubungan itu, kerajaan digesa mempercepat pengisian jawatan tetap bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan dan kebajikan kumpulan pelaksana terus terjamin.




