Lebih 100 pelantar beroperasi di Terengganu, minyak kita tak lalu Selat Hormuz – Exco

Exco Terengganu, Dr Azman Ibrahim menegaskan Malaysia tidak bergantung kepada laluan Selat Hormuz bagi bekalan minyak, sekali gus mempersoalkan kaitan faktor itu dengan kenaikan harga bahan api dalam negara.
Menurut Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu, kira-kira 120 pelantar minyak beroperasi di perairan Terengganu, dengan hasil minyak mentah disalurkan terus ke loji penapisan di Kerteh melalui paip dasar laut atau kapal tangki sebelum diproses untuk kegunaan domestik.
Kenyataan itu mengukuhkan pandangan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini menyifatkan kenaikan harga minyak di Semenanjung tidak berasas kerana Malaysia mempunyai sumber petroleum sendiri.
Abdul Hadi turut membangkitkan bahawa negara tidak terlibat dengan sekatan antarabangsa di Selat Hormuz, malah perbezaan harga di Sabah dan Sarawak menunjukkan alasan kenaikan di Semenanjung boleh dipersoalkan.



