Lebih 82,000 kandungan diturunkan MCMC – Fahmi Fadzil

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memohon kepada penyedia perkhidmatan media sosial untuk menurunkan 82,076 kandungan tidak bermoral yang melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia serta undang-undang lain, dari 1 Januari 2022 hingga 1 Julai 2025.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, MCMC memandang serius kewujudan aplikasi di media sosial yang menawarkan perkhidmatan tidak bermoral.
Ini kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah menjejaskan kesihatan mental masyarakat dan keselamatan pengguna, selain menyumbang kepada gejala sosial.
Bagi mengekang kegiatan ini, MCMC bersama agensi penguat kuasa menjalankan operasi seperti Ops Pedo dan Ops Noda. Namun, penurunan kandungan tertakluk kepada penilaian penyedia media sosial mengikut garis panduan komuniti mereka dan undang-undang tempatan.
Selain media sosial, MCMC turut menapis dan menyekat aplikasi yang menawarkan perkhidmatan tidak bermoral di platform seperti Google Play dan Apple Store.




