KKM lancar sistem Pertukaran Suka Sama Suka, mudahkan pertukaran penempatan

Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan Sistem Pertukaran Suka Sama Suka (P3S) bagi mempercepatkan proses pertukaran penempatan dan mengurangkan kerenah birokrasi dalam kalangan warga kesihatan.
Fasa pertama yang bermula Rabu melibatkan skim jururawat di bawah Bahagian Kejururawatan, dengan permohonan boleh dibuat secara dalam talian berbanding kaedah manual sebelum ini.
P3S akan diperluaskan secara berperingkat mulai 2026 kepada skim lain termasuk pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, pegawai pergigian, pegawai farmasi dan penolong pegawai farmasi.
Sebelum ini, permohonan pertukaran dilaksanakan secara manual menyebabkan jumlah permohonan tinggi, proses mengambil masa panjang dan mendorong penggunaan saluran tidak rasmi.
Melalui P3S, padanan akan dilakukan secara automatik, aliran kerja diperkemas dan urusan menjadi lebih telus tanpa mengubah peraturan kelulusan sedia ada.




