Bekalan RON95 dan diesel Caltex terganggu, lima negeri terlibat

Beberapa stesen minyak Caltex di Semenanjung Malaysia dilaporkan mengalami gangguan bekalan petrol RON95 dan diesel, melibatkan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan.
Caltex Malaysia memaklumkan gangguan itu dijangka berlanjutan selama beberapa hari dan memberi kesan kepada penghantaran bahan api di kawasan terlibat.
Menurut kenyataan rasmi yang dimuat naik Caltex pada Jumaat, 17 April, gangguan tersebut berpunca daripada kelewatan tidak dijangka di pelabuhan yang menjejaskan jadual penghantaran bekalan.
Tambah Caltex, pasukan mereka sedang berusaha mengutamakan penghantaran bagi mengurangkan tempoh gangguan.
Caltex turut memohon maaf kepada pengguna atas kesulitan yang berlaku dan mengucapkan terima kasih atas kesabaran serta pemahaman pelanggan.



