Malaysia
Lelaki buat aksi ‘drift’ dengan BMW E36 di Genting Highlands ditahan polis

Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai melakukan aksi drift berbahaya ketika memandu menuju ke Genting Highlands dalam video tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Bentong, Zaiham Mohd Kahar, berkata rakaman 14 saat di TikTok itu memaparkan sebuah BMW E36 dipandu secara melulu dengan aksi drift di selekoh sehingga membahayakan pengguna jalan raya.
Susulan siasatan, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun tampil ke Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong sebelum ditahan, manakala kenderaan terbabit turut disita.
Ujian saringan air kencing didapati negatif dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.




