
Kerala: Mahkamah Tinggi Kerala, India menegaskan seorang lelaki Islam tidak boleh menggunakan alasan agama untuk beristeri ramai jika tidak berkemampuan menyara mereka. Hakim PV Kunhikrishnan menyatakan hukum syarak sendiri tidak membenarkan keadaan itu, malah al-Quran menekankan monogami, dengan poligami hanya dibenarkan sebagai pengecualian.
Kes ini melibatkan seorang wanita berusia 39 tahun dari Perinthalmanna yang menuntut nafkah ₹10,000 (Rupee) sebulan daripada suaminya, seorang lelaki buta berusia 46 tahun yang hidup dengan meminta sedekah. Lelaki itu, yang masih tinggal bersama isteri pertama, didakwa mengugut mahu berkahwin lagi buat kali ketiga walaupun tidak mampu menanggung isteri-isterinya.
“Jika seorang lelaki Islam tidak mampu menyara isteri kedua atau ketiga, dia tidak boleh berkahwin lagi. Bahkan menurut undang-undang Islam sendiri, poligami hanya sah jika keadilan terhadap semua isteri dapat ditegakkan,” tegas mahkamah, sambil menambah majoriti umat Islam sendiri mengamalkan monogami selaras dengan ajaran al-Quran.




