Hentikan budaya sambutan mewah untuk menteri dalam perkhidmatan awam -Rafizi

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa supaya budaya sambutan mewah dan penuh keramaian terhadap menteri serta ahli politik dalam perkhidmatan awam dihentikan, sambil menyifatkannya sebagai pembaziran masa dan wang.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau terkejut pada hari pertama memasuki pejabat sebagai Menteri Ekonomi apabila melihat ramai kakitangan awam menunggu untuk menyambutnya.
Menurutnya, menteri dan pemimpin politik kanan turut menjadi punca budaya itu berterusan.
“Ia sudah lama diamalkan. Perlu dihentikan secara berperingkat kerana ia membazir dan hanya berkisar pada kemegahan semata-mata,” katanya pada forum Major Economic Challenges: Can We Face Them di Dewan Perhimpunan Cina KL & Selangor (KLSCAH).




