Lelaki maut ditembak dekat restoran makanan segera di Banting

Seorang lelaki tempatan maut dalam kejadian tembakan berhampiran sebuah restoran makanan segera di Banting, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 10.05 malam, membabitkan mangsa berusia lingkungan hujung 30-an.
Siasatan awal mendapati kejadian tembakan berlaku di kawasan restoran berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala motif kejadian masih dalam siasatan.
Unit anjing pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia turut dikerahkan ke lokasi.
Rakaman dan gambar tular di media sosial menunjukkan mangsa terbaring di dinding luar premis dengan kesan kecederaan serta tompokan darah, selain beberapa kelongsong peluru yang dipercayai berkait dengan kejadian tersebut.



