Lindungi rider, tapi bagaimana nasib majikan? Kerajaan belum cadang tetap harga lantai

Kerajaan belum bercadang menetapkan harga lantai tetap bagi setiap perjalanan rider kerana bimbang ia menjejaskan kelangsungan platform e-hailing dan p-hailing serta peluang pekerjaan gig.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata kadar seragam tidak praktikal kerana kos dan keuntungan setiap platform berbeza.
“Banyak berpendapat. Kalau kita just look after the workers, everything will be okay. Memang that is the popular thing to do. Tetapi seperti yang saya maklum kepada semua pegawai-pegawai kanan kementerian, kita must have a balance.
“Sebab kalau kita pressure and pressure the employers, apa yang akan jadi bila employers tidak dapat menampung kos pengurusan dan kos perniagaan mereka, mereka tidak dapat memberi pekerjaan kepada pekerja-pekerja.
“Lepas itu, apa yang akan jadi? They will be without a job. So there must be a balance,” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan perlu seimbangkan perlindungan pekerja dan kemampuan majikan, kerana tekanan berlebihan boleh menyebabkan syarikat gagal beroperasi dan pekerja hilang pendapatan.
Ujar Ramanan lagi, dasar gaji minimum RM1,700 kekal sebagai penanda aras, manakala kadar bayaran rider ditentukan platform masing-masing selagi patuh undang-undang.




