Meski dihina, Yusuke Furusawa tetap protes di Tokyo lebih 700 hari berturut-turut

Yusuke Furusawa, 49, yang berasal dari Tokyo, Jepun terus berdiri sendirian mengibarkan bendera Palestin setiap hari demi menyatakan solidariti ketika sesetengah pihak mula alpa dengan nasib yang menimpa penduduk Gaza.
Meskipun sering dihina dan ditunjuk jari tengah hampir setiap hari, tukang kayu yang juga pembuat set televisyen itu tidak pernah patah semangat sehingga bertahan lebih 700 hari berturut-turut.
Protes solonya bermula pada Oktober 2023 selepas beliau melihat penderitaan rakyat Gaza ketika pulih daripada COVID-19.
Biarpun gencatan senjata diumumkan, Furusawa enggan berhenti kerana percaya ia hanya sementara dan sering dilanggar Israel serta sekadar alasan dunia untuk mendiamkan diri.
Rakaman protesnya di media sosial menjadikan mesejnya tersebar luas hingga mencetus gelombang sokongan dan mempunyai pengikut di media sosial melebihi 200,000.
Pelancong asing mencarinya untuk mengucapkan terima kasih, manakala anak muda Jepun semakin berani menyertai protes aman menuntut keadilan buat Palestin.



