Negara terancam akibat MyKad palsu – JPN

Penggunaan MyKad palsu boleh mengancam keselamatan negara kerana membolehkan individu menyamar sebagai warganegara Malaysia dan menyusup ke dalam sistem keselamatan serta pentadbiran negara.
Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias memaklumkan, identiti palsu boleh digunakan oleh pengganas, penjenayah antarabangsa dan sindiket pemerdagangan manusia untuk masuk, tinggal dan melakukan jenayah tanpa dikesan.
Penyalahgunaan MyKad palsu turut menjejaskan kebajikan rakyat apabila kemudahan kerajaan seperti bantuan, subsidi, rawatan kesihatan dan pendidikan disalahgunakan oleh pihak tidak layak.
Sehubungan itu, JPN bersama PDRM, Jabatan Imigresen dan SPRM mempergiat usaha membanteras sindiket pemalsuan, dengan tindakan undang-undang termasuk hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000.




