Shamsul Iskandar, Albert Tei mengaku tidak bersalah rasuah bayar rumah sewa

Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin dan Albert Tei masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat atas pertuduhan rasuah melibatkan penyewaan rumah.
Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.
Berdasarkan pertuduhan, Shamsul Iskandar, 51, sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri didakwa secara rasuah memperoleh suapan wang berjumlah RM64,920 daripada Albert Tei bagi tujuan pembayaran sewa sebuah unit rumah di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur.
Albert, 37, pula didakwa telah memberi suapan wang berkenaan kepada Shamsul Iskandar bagi tujuan tersebut.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Country Heights antara 28 November 2023 dan 23 September 2024.
Shamsul didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala Albert pula disiasat di bawah Seksyen 17(b) akta sama.
Sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.




