Pengembara melawak ada bom di KLIA ditahan polis

Seorang pengembara asing yang didakwa bergurau mengenai kewujudan bom pada bagasinya di KLIA Terminal 1 ditahan dan diserahkan kepada polis selepas pihak keselamatan mengesan mesej mencurigakan pada tag bagasi yang didaftar masuk.
Kejadian itu dilaporkan sekitar 5.32 petang Selasa, sekali gus mencetuskan proses keselamatan penuh melibatkan pasukan keselamatan lapangan terbang, polis dan unit pemusnah bom.
Siasatan pantas pihak berkuasa kemudian mengesahkan tiada ancaman sebenar.
Prosedur keselamatan berjalan tanpa insiden dan semua penumpang kekal selamat sebelum penerbangan berjadual diteruskan pada 7.19 malam.
Malaysia Airports menegaskan perbuatan membuat ancaman palsu, termasuk ‘gurauan’ melibatkan bom, adalah kesalahan serius di bawah undang-undang Malaysia.



