Pencarian MH370 disambung semula 30 Disember ini

Operasi pencarian pesawat MH370 akan bersambung pada 30 Disember ini selepas dihentikan sementara pada April lalu akibat keadaan cuaca yang tidak sesuai.
Kementerian Pengangkutan memaklumkan usaha selama 55 hari itu akan dijalankan secara berselang dan memberi tumpuan kepada kawasan yang dikenal pasti mempunyai peluang tertinggi untuk menemui serpihan pesawat.
Pencarian kali ini diteruskan di bawah perjanjian perkhidmatan antara Malaysia dan Ocean Infinity yang dimeterai pada Mac tahun ini.
Kerajaan menegaskan usaha ini menjadi keutamaan bagi memberikan kepastian kepada keluarga mangsa.
MH370 hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 individu di dalamnya, dan kekal sebagai antara misteri terbesar dalam sejarah penerbangan dunia.




