Malaysia

Perodua perjelas patuh syariah libatkan QV-E, gagal bayar bateri boleh dinyahaktif

Susulan kekeliruan orang ramai mengenai skim sewaan bateri untuk model elektrik baharu, QV-E, Perodua menjelaskan bahawa klausa tersebut merupakan salah faham dan bukan syarat penggunaan untuk pelanggan.

Isu timbul apabila dokumen awal memaparkan klausa penggunaan bateri “bagi tujuan patuh syariah”, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dan salah faham mengenai bagaimana kenderaan itu boleh digunakan.

Dokumen pendedahan produk bagaimanapun telah dikemas kini, namun Perodua mengekalkan penjelasan bahawa skim sewaan itu sendiri berasaskan konsep syariah melalui prinsip Ijarah, iaitu Perodua kekal sebagai pemilik bateri manakala pelanggan hanya menyewanya.

Dalam kenyataan sama, Perodua memperincikan lagi tentang struktur sewaan bateri di mana pelanggan perlu menyewa bateri selama sembilan tahun dengan bayaran RM275 sebulan, manakala bayaran tiga bulan pertama perlu dibuat sebelum kenderaan diserahkan.

Kegagalan membayar dua bulan berturut-turut boleh menyebabkan fungsi bateri atau kenderaan dinyahaktif, manakala kegagalan selama tiga bulan akan membatalkan perjanjian sewaan.

Selepas tempoh sembilan tahun, pelanggan ditawarkan kontrak baharu dengan kapasiti bateri lebih tinggi. Jika kesihatan bateri asal masih melebihi 70%, pengguna boleh terus menggunakannya tanpa bayaran bulanan sehingga tahap tersebut menurun.

Perodua menegaskan bahawa skim Battery-as-a-Service (BaaS) ini diperkenalkan bagi mengurangkan kebimbangan terhadap kos penggantian bateri, pelupusan bateri dan nilai jualan semula kenderaan elektrik, sekali gus memastikan pemilikan EV lebih mampu milik dan praktikal untuk pengguna tempatan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker