PAS tidak campur tangan krisis dalaman Bersatu, yakin mampu selesai dengan ukhuwah

PAS menegaskan tidak akan campur tangan dalam kemelut dalaman Bersatu walaupun ada desakan supaya parti itu menjadi orang tengah bagi meredakan konflik dalam rakan sekutu Perikatan Nasional (PN).
Memetik laporan FMT, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu menghormati urusan dalaman setiap komponen dan yakin Bersatu mampu menyelesaikan isu berbangkit dengan semangat ukhuwah dalam PN.
Beliau menegaskan PAS kekal fokus memperkukuh kerjasama dalam gabungan berkenaan dan terbuka untuk berbincang pelbagai isu dalam kerangka PN tanpa mencampuri hal dalaman mana-mana parti.
Krisis Bersatu tercetus susulan tindakan disiplin terhadap dua pemimpinnya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang digantung dan Datuk Wan Saiful Wan Jan yang dipecat selepas didakwa melanggar perlembagaan parti.




