Patung Dewa Murugan di Batu Caves kembali dipamerkan, rai ulang tahun ke-20 hari ini

Sambutan ulang tahun ke-20 pemasangan patung Dewa Murugan setinggi 140 kaki di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, berlangsung meriah dan harmoni pada Khamis.
Bersempena dengan Tahun Baharu 2026, ribuan penganut Hindu serta pelawat pelbagai kaum yang hadir untuk menyaksikan patung Dewa Murugan yang telah dipulihara dan dipamerkan semula sebagai mercu tanda kebanggaan komuniti Hindu di Malaysia.
Upacara keagamaan bermula seawal jam 7 pagi itu dimulakan dengan homam dan pooja, diikuti bacaan Sashti Kavacham Parayanam serta upacara Abishegam di kaki patung Dewa Murugan yang menggunakan teknologi dron.
Acara tersebut turut menampilkan penyanyi dan penari terkenal yang diadakan pada sebelah petang dengan memperlihatkan kepelbagaian warisan seni dan budaya masyarakat India Malaysia terutama bersempena penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).



