Isu ugut wartawan: Nga Kor Ming akan jernihkan keadaan – Fahmi

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, akan mengadakan pertemuan dengan organisasi media bagi menjernihkan semula isu yang timbul susulan insiden bersama seorang wartawan baru-baru ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, memaklumkan perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, dengan Nga memberi komitmen untuk bersemuka dan menyelesaikan salah faham yang berlaku.
Kontroversi tercetus selepas satu rakaman tular memaparkan Nga menjawab pertanyaan wartawan mengenai penggunaan bahasa Inggeris pada majlis prapelancaran projek I Lite U dengan nada tegas serta menyatakan akan menghubungi ketua pengarang akhbar berkenaan.
Tindakan itu mencetuskan reaksi pelbagai pihak termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) yang menyifatkan ia tidak wajar.
Fahmi berkata, beliau menyerahkan kepada Nga untuk menilai langkah susulan termasuk sama ada mahu memohon maaf, namun menegaskan menteri berkenaan sudah menunjukkan kesediaan untuk memperbaiki keadaan dan menutup isu berkenaan secara baik.




