Pelajar universiti ancam bom di KLIA kerana tidak mahu bagasinya disentuh – Polis

Penuntut universiti yang ditahan atas kesalahan membuat ancaman bom palsu di KLIA Terminal 1 baru-baru ini membuat tindakan sedemikian kerana tidak mahu beg bagasi miliknya disentuh.
Ketua Polis KLIA, Azman Shariat, berkata suspek yang dikatakan seorang pelajar universiti, menulis pada tag bagasinya ada bom di dalamnya supaya rakannya tidak mengganggu beg berkenaan.
Individu itu kemudian dibebaskan dengan ikat jamin memandangkan tempoh reman tamat selepas polis tidak menemui motif jenayah dalam ancaman bom palsu berkenaan.
Dalam kenyataan, Azman berkata kertas siasatan mengenai ancaman bom palsu itu diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dan sedang diteliti.
Lelaki itu ditahan pada Isnin berikutan ancaman bom palsu berkenaan, yang menyebabkan sebahagian kawasan lapangan terbang ditutup dengan unit pemusnah bom dikerah.
Pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports, memberi amaran membuat ancaman palsu merupakan kesalahan serius di bawah undang-undang.



