Pemandu Vellfire beraya dalam penjara, denda RM5,500 diketepikan

Seorang lelaki yang sebelum ini didenda RM5,500 kerana mencederakan warga emas dalam insiden kemalangan di Jalan Cheras–Hulu Langat, kini dipenjara empat bulan selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mengetepikan hukuman denda tersebut.
Saiful Adli Yusof, 52, dijatuhi hukuman penjara empat bulan bagi dua pertuduhan mencederakan dan mengugut bunuh lelaki berusia 70 tahun dalam kejadian pada 8 Februari lalu.
Sebelum ini, Mahkamah Majistret Kajang menjatuhkan denda RM5,500 selepas tertuduh mengaku bersalah.
Namun Mahkamah Tinggi menggunakan kuasa semakan di bawah Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah untuk memanggil semula kes dan menggantikan hukuman tersebut dengan penjara.
Dengan keputusan terbaharu itu, tertuduh dijangka menjalani hukuman penjara sepanjang tempoh Aidilfitri.




